Tuesday, November 6, 2007

demam peperiksaan berakhir sudah...

bismillah

assalamualaikum semua.
kembali semula setelah sekian lama menghilangkan diri, mungkin hampir 2 bulan, mungkin lebih!
apa pun, biarlah apa yang telah dikata kerana saya telah pun kembali semula.
sebenarnya bukanlah hobi saya menulis dengan panjang lebar meluahkan segala isi hati dan perasaan dalam sebuah 'blog' agar dapat dibaca oleh semua orang, tetapi saya menulis atas dorongan teman- teman baik, yang saya percaya ada faedahnya dalam saranan mereka suatu hari kelak.
minggu yang lalu saya telah melalui fasa terakhir semester 1 07/ 08 dengan peperiksaan yang berakhir pada Ahad, 4/11/2007. alhamdulillah, segalanya berjalan lancar walaupun di sana ada kekurangan yang banyak. insyaallah doakan segalanya baik.
semasa 'examination period', banyak perkara yang saya fikirkan, banyak juga perkara yang saya lalui, dan selain itu banyak juga perkara yang bakal saya lalui.
apa yang saya fikirkan?
pertamanya, ketika musim peperiksaan itu, pada hakikatnya saya langsung tidak mempunyai persediaan yang rapi disebabkan satu faktor penting, iaitu diri saya.
seperti pepatah Inggeris yang berbunyi,'everything begins within you'.
semudah itu sebenarnya diri kita ini.
bukanlah maksud saya segalanya mudah, tetapi setiap sesuatu itu bermula dengan kehendak kita.
jikalau kita inginkan kejayaan dalam kehidupan ini, kita perlu berusaha, bukan begitu?.
dan sebaliknya, kehidupan tanpa usaha adalah kegagalan.
sepertimana firman Allah swt di dalam al- Quran yang mafhumnya, ALlah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu selagimana kaum itu tidak mahu berubah.
mafhum ayat yang mudah difahami, iaitu kita sendiri yang perlu ada keinginan untuk berubah barulah Allah akan memberikan bantuan dalam perubahan itu.
kembali semula kepada perkara yang dibincangkan, keinginan saya untuk menduduki peperiksaan tiada kerana tiada persediaan, kurang atau tiada motivasi untuk mentelaah pelajaran, kurang/ tiada persekitaran/ bi'ah yang membina, juga malas.
dipendekkan cerita, alhamdulillah Allah itu Maha Penyayang dan Pengatur segala sesuatu, saya dapat juga menggagahkan diri untuk menjadi lebih bersemangat- walaupun pada saat akhir peperiksaan, dan alhamdulillah saya dapat menjawab dengan tenang...
apa yang saya tulis tentang faktor- faktor penghalang di atas bukanlah agar teman mengikuti langkah- langkah itu- semestinya tidak- tetapi adalah untuk menjadi benteng atau batas dalam menjalani hidup seharian sebagai seorang pelajar di sekolah, kolej, universiti, mahupun hidup.
hidup kita, kita yang tentukan, disertai dengan usaha, doa dan tawakkal kepada Allah swt. nasihat serta saranan daripada guru, ibu bapa, teman- teman, kita terima dan fikir- fikirkan.
nasihat itu sebenarnya adalah hak kita.
apabila kita meminta saudara kita memberi nasihat, dia harus memberikan nasihat, walaupun merasa diri tidak layak dalam maksud untuk memenuhi hak sebagai saudara muslim.
saya secara peribadi setuju dengan sistem peperiksaan, tetapi bukanlah sepenuhnya kerana kadang- kadang kita hanya belajar semata- mata untuk menjawab peperiksaan, bukan untuk diambil untuk masa depan kita.
kebaikannya pula, pelajaran lepas yang telah kita pelajari kita muraja'ah semula agar tidak lupa dan di situ akan timbul kembali semangat untuk mula rajin belajar.
apa pun, janganlah kita menjadikan peperiksaan itu alasan untuk tidak berjaya dalam kehidupan, sebaliknya jadikanlah ia sebagai pemangkin untuk bergerak ke hadapan.
kerana sebagai seorang muslim adalah merupakan suatu tanggungjawab untuk menuntut ilmu.
sungguh banyak ilmu yang telah ditinggalkan oleh para ulama kita terdahulu untuk kita semua, hanya atas diri kita sendiri untuk menuntutnya kembali dan mengembangkannya.
mereka semua adalah contoh- contoh tauladan yang terbaik buat kita semua, seperti ibn Khaldun, ibn Sina, ibn Rusyd, al- Khwarizmi, al- Razi, dan ramai lagi di mana yang disebutkan hanyalah sebahagian kecil daripada kelompok cendekiawan Islam yang agung.

kita bagaimana?